Monday, May 7, 2012

Durian Runtuh...Tanda Penghargaan Kerajaan Kepada Peneroka

Felda ditubuhkan pada tahun 1956 iaitu menjelang negara mencapai kemerdekaan. Dari detik permulaan secara kecil-kecilan organisasi ini telah berkembang menjadi suatu organisasi raksasa. Kini, rancangan-rancangan yang diselenggarakannya meliputi lebih daripada setengah juta hektar dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat dari Felda yang terdiri daripada peneroka, pekerja Felda dan pekerja kontrak serta keluarga masing-masing. Sejak tahun 1960, Felda yang ditubuhkan untuk pembangunan kawasan pendalaman yang lebih terpencil di negara ini, telah pula sendiri bertanggungjawab secara langsung dalam usaha pembangunan. Kerajaan-kerajaan negeri menyerahkan segala hak ke atas tanah untuk diusahakan kepada Felda yang seterusnya menjadi agensi yang bertanggungjawab memajukannya kepada suatu kawasan pembangunan yang ‘integrated’ atau bersepadu sepenuhnya. Tahukah anda, pada hari-hari awalnya, kawasan penempatan Felda ini tidak mempunyai elektrik, tidak ada air bahkan bekalan makanan pun sangat terhad.
Namun sejak pembukaan tanah rancangan pertama di Lurah Bilut pada 1 Julai 1956, perubahan yang dikecapi cukup mengkagumkan. Amat membanggakan kini apabila Felda yang diusahakan bersama di bawah naungan kerajaan itu mampu membuktikan bahawa pengorbanan mereka berbaloi dengan menjadi sebuah syarikat multi-bilion yang berjaya di rantau ini. Kemakmuran tersebut turut diraikan oleh kerajaan apabila memperuntukkan lebih RM300 juta bagi dana membangunkan infrastruktur, kemudahan serta keperluan bagi meningkatkan tahap kehidupan mereka sehingga kini. Antaranya pembinaan kompleks sukan dan stadium yang dijangka siap tidak lama lagi, sekaligus menjadi ‘tuan rumah’ kepada pasukan bolasepak yang sedang meningkat naik, Felda United. Alhamdulillah, rezeki para peneroka juga bertambah apabila harga minyak sawit naik kepada USD1,105 satu tan per metrik di pasaran dunia. Bercerita tentang ‘durian runtuh’ yang bakal diterima, percayalah ini baru permulaan. Ia bukanlah yang terakhir, banyak lagi ‘durian’ yang akan ‘terhasil’, yang penting para peneroka perlu yakin dan sentiasa berdoa kepada Allah agar usaha mereka selama ini berbaloi seterusnya memakmurkan agama, bangsa dan negara amnya serta keluarga mereka khususnya. Selama lebih 56 tahun Felda tidak pernah mengkhianati warganya, dan percayalah, mereka tidak akan sama sekali mengkhianati amanah tersebut walaupun 56 tahun lagi selepas itu. Kalau menjadi kenyataan, ‘durian runtuh’ yang bakal dinikmati itu hanyalah ‘pemanis kata, pembuka bicara’. Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal, InsyaAllah, kalau rezeki takkan ke mana! (Sumber: Mynewshub)

Sunday, May 6, 2012

Kenapa Perlu Membantah Rezeki Peneroka?

Yes...kenapa perlu membantah apa yang sudah dtakdirkan menjadi milik peneroka?
Dalam beberapa hari lagi, lebih 100,000 peneroka Felda di seluruh negara akan menikmati ganjaran ‘durian runtuh’ yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak baru-baru ini, yakni sebelum penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang dijangka akan berlangsung pada Jun nanti. Saya pasti kesemua peneroka berdebar-debar dan tidak sabar menanti habuan lumayan yang akan diumumkan oleh Yang Berhormat Perdana Menteri pada 8 Mei kelak. Kita semua sedia maklum bahawa Felda telah ditubuhkan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Bayangkanlah susah payah hidup para peneroka. Mereka sanggup berkorban dan berpindah ke kawasan terpencil dan hidup dalam serba kekurangan tanpa kemudahan elektrik dan air demi mengusahakan tanah Felda untuk menyara keluarga mereka. Sanggupkah generasi zaman sekarang berbuat demikian? Saya rasa tidak. Kita sudah biasa dengan kesenangan hidup dan tidak sanggup melalui kepayahan hidup. Rasa sangsi beberapa pihak yang menentang ‘durian runtuh’ serta penyenaraian FGVH amat menyedihkan kerana ia seperti memperlekeh pengorbanan dan penat lelah para peneroka selama ini. Saya bukannya seorang peneroka Felda. Malah, saya juga bukannya anak kepada peneroka. Namun, saya berasa para peneroka memang layak menerima ganjaran yang bakal dinikmati tidak lama lagi kerana tanpa kita sedari, mereka sudah banyak berbakti kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Pengumuman ‘durian runtuh’ ini memang tepat pada waktunya untuk membalas budi para peneroka yang telah berhempas pulas membanting tulang mengusahakan tanah Felda di seluruh negara. Jika terdapat beberapa pihak yang masih tidak berpuas hati, saya berharap mereka kikislah perasaan cemburu itu. Jangan nafikan hak orang lain. Jika kita ingin berjaya, marilah kita bekerja keras juga. Insya-Allah, Tuhan akan memudahkan rezeki kita pula. Azhar Zainal