Monday, May 7, 2012
Durian Runtuh...Tanda Penghargaan Kerajaan Kepada Peneroka
Felda ditubuhkan pada tahun 1956 iaitu menjelang negara mencapai kemerdekaan.
Dari detik permulaan secara kecil-kecilan organisasi ini telah berkembang menjadi suatu organisasi raksasa.
Kini, rancangan-rancangan yang diselenggarakannya meliputi lebih daripada setengah juta hektar dan lebih daripada setengah juta orang mendapat manfaat dari Felda yang terdiri daripada peneroka, pekerja Felda dan pekerja kontrak serta keluarga masing-masing.
Sejak tahun 1960, Felda yang ditubuhkan untuk pembangunan kawasan pendalaman yang lebih terpencil di negara ini, telah pula sendiri bertanggungjawab secara langsung dalam usaha pembangunan.
Kerajaan-kerajaan negeri menyerahkan segala hak ke atas tanah untuk diusahakan kepada Felda yang seterusnya menjadi agensi yang bertanggungjawab memajukannya kepada suatu kawasan pembangunan yang ‘integrated’ atau bersepadu sepenuhnya.
Tahukah anda, pada hari-hari awalnya, kawasan penempatan Felda ini tidak mempunyai elektrik, tidak ada air bahkan bekalan makanan pun sangat terhad.
Namun sejak pembukaan tanah rancangan pertama di Lurah Bilut pada 1 Julai 1956, perubahan yang dikecapi cukup mengkagumkan.
Amat membanggakan kini apabila Felda yang diusahakan bersama di bawah naungan kerajaan itu mampu membuktikan bahawa pengorbanan mereka berbaloi dengan menjadi sebuah syarikat multi-bilion yang berjaya di rantau ini.
Kemakmuran tersebut turut diraikan oleh kerajaan apabila memperuntukkan lebih RM300 juta bagi dana membangunkan infrastruktur, kemudahan serta keperluan bagi meningkatkan tahap kehidupan mereka sehingga kini.
Antaranya pembinaan kompleks sukan dan stadium yang dijangka siap tidak lama lagi, sekaligus menjadi ‘tuan rumah’ kepada pasukan bolasepak yang sedang meningkat naik, Felda United.
Alhamdulillah, rezeki para peneroka juga bertambah apabila harga minyak sawit naik kepada USD1,105 satu tan per metrik di pasaran dunia.
Bercerita tentang ‘durian runtuh’ yang bakal diterima, percayalah ini baru permulaan.
Ia bukanlah yang terakhir, banyak lagi ‘durian’ yang akan ‘terhasil’, yang penting para peneroka perlu yakin dan sentiasa berdoa kepada Allah agar usaha mereka selama ini berbaloi seterusnya memakmurkan agama, bangsa dan negara amnya serta keluarga mereka khususnya.
Selama lebih 56 tahun Felda tidak pernah mengkhianati warganya, dan percayalah, mereka tidak akan sama sekali mengkhianati amanah tersebut walaupun 56 tahun lagi selepas itu.
Kalau menjadi kenyataan, ‘durian runtuh’ yang bakal dinikmati itu hanyalah ‘pemanis kata, pembuka bicara’.
Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal, InsyaAllah, kalau rezeki takkan ke mana! (Sumber: Mynewshub)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment